MRCB RAIKAN 106 KAKITANGAN TERLIBAT PERBARISAN HARI KEBANGSAAN 2023

28/11/2023 12:01 PM

 

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) telah meraikan 106 kakitangannya yang menyertai perbarisan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya dalam satu majlis malam tadi.

Pada majlis itu Pengerusi MRCB Datuk Seri Amir Hamzah turut menyampaikan sijil kepada kesemua 106 kakitangan tersebut dan menyampaikan rasa terima kasihnya atas sumbangan mereka.

MRCB dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Amir memuji komitmen kakitangan MRCB yang menyertai latihan selepas waktu kerja dan berbangga dengan semangat yang ditunjukkan kesemua peserta sewaktu acara tersebut berlangsung.

Amir berkata penyertaan mereka itu bukan sahaja menunjukkan dedikasi MRCB kepada negara, tetapi juga mempamerkan semangat dan perpaduan dalam syarikat dan juga kepentingan kerja sebagai satu pasukan, yang menunjukkan kekuatan dan keupayaan MRCB kepada seluruh negara.
-- BERNAMA