FAHMI MAHU LANGKAH TEGAS DIAMBIL TERHADAP INSIDEN MENJURUS KEPADA EKSTREMISME

28/11/2023 11:57 PM

BANGI, 28 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mahu langkah tegas diambil terhadap beberapa insiden yang menjurus kepada ekstremisme atau perlakuan melampau yang dilihat kian membimbangkan.

Menyuarakan kegelisahan terhadap trend itu, beliau berkata semua pihak termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan rentas kementerian perlu melipatgandakan usaha bagi meredakan keadaan melampau tersebut agar masyarakat faham undang-undang dan tidak mengambil tindakan luar rasional.

"Beberapa insiden baru-baru ini seakan-akan memerlukan kita meneliti sama ada perlunya intervensi yang mendalam," katanya yang terkesan dengan insiden seorang remaja lelaki 13 tahun bertindak luar kawalan apabila menikam pemandu e-hailing dengan pisau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 bertema “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.

Turut hadir Timbalan Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin, peserta perbarisan serta warga KKD. 

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2023, menekankan pentingnya perpaduan sebagai tonggak untuk merealisasikan harapan Malaysia MADANI dan idealisme yang dibawa melalui tema sambutan HKHM 2023 bagi membina identiti negara dan bangsa seperti diidamkan sejak kemerdekaan. 

“Agenda perpaduan nasional perlu disokong dan didukung semua pihak kerana Kerajaan Perpaduan mahu nilai-nilai saling menghormati dan mementingkan keadilan dimartabatkan dalam usaha membangunkan Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau berkata Malaysia mempunyai Dasar Perpaduan Negara yang antaranya bertujuan memastikan hubungan sesama rakyat dan budaya diamalkan sekali gus membina persefahaman yang baik dalam kehidupan bermasyarakat.

Fahmi turut menyeru semua pihak agar terus menyuburkan perpaduan dan keharmonian seperti termaktub dalam Rukun Negara demi memastikan kejayaan serta kestabilan negara.

"Melalui Rukun Negara, Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara satu cara hidup demokratik iaitu dengan mencipta masyarakat yang adil agar kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama," katanya.

Mengenai kejayaan HKHM 2023, Fahmi berkata beliau secara peribadi berasa amat gembira kerana sambutan itu telah dihadiri lebih 100,000 pengunjung malah ada antara mereka yang datang dari luar Kuala Lumpur, serta sanggup menunggu sejak malam 31 Ogos kerana tidak mahu ketinggalan menyaksikan acara gemilang Hari Kebangsaan di Putrajaya.

Beliau berkata pelancong asing yang turut menyaksikan sambutan penuh meriah itu memuji semangat perpaduan dan keharmonian jitu yang dipamerkan rakyat Malaysia. 

"Ini menunjukkan bahawa perbezaan etnik, agama dan budaya bukan halangan untuk kita terus kekal bersatu padu demi negara tercinta. Paparan yang ditampilkan semasa sambutan Hari Kebangsaan itu juga membuktikan rakyat terutamanya generasi muda tahu dan memahami pentingnya kita meraikan Hari Kebangsaan sebagai negara yang merdeka," katanya.

Fahmi berkata kejayaan sambutan juga dirasai apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyantuni rakyat selepas berakhirnya program sambutan tanpa sebarang protokol.

-- BERNAMA