AGONG BERANGKAT KE MAJLIS SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-52 UAE

istana_negara ig

04/12/2023 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis sambutan Hari Kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang ke-52 di Jubilee Park, Expo City di Dubai semalam.

Turut berangkat paduka anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istana Negara dalam catatan di Instagram hari ini memaklumkan pada majlis, Seri Paduka berkenan bertemu dengan beberapa ketua dan pemimpin negara asing yang hadir atas persilaaan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

istana_negara ig

Antaranya Presiden Indonesia Joko Widodo, Timbalan Perdana Menteri UAE Sheikh Saif bin Zayed Al Nahyan dan Menteri Kanan Penyelaras Keselamatan Negara Singapura Teoh Chee Hean.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini berada di Abu Dhabi bagi lawatan khas yang berakhir esok. 

Lawatan itu sempena Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28) yang bermula Khamis lepas dan berakhir 12 Dis ini.

-- BERNAMA